Wednesday, 30 April 2014

Milik Siapakah Hatimu
Bab 14
“Selesa?” soal Tengku Haikal bila melihat Adura tidak berkutik dari tempat duduknya. Gadis itu terus membisu dan  sedang tenggelam dalam lamunannya. Ini mesti sedang mencari idea macamanana nak melarikan diri dari kontrak yang sudah ditandatangani. Senyuman sinis menghiasi bibirnya. Kejadian dibilik pejabatnya tadi diimbau kembali. Betapa terujanya dia untuk melihat reaksi Adura bila mengetahui dia adalah Tengku Dazrin Haikal merangkap CEO Bersatu Maju Holdings namun apabila Adura tiba-tiba pengsan kerana terkejut, hatinya menjadi parah. Risau teramat sangat. Kalaulah gadis ini mempunyai jantung yang lemah, pasti kisah ini tidak mati disini. Teruk dia nak menjawab dengan semua orang, terutama keluarga gadis ini. Ketika dia mencempung gadis itu ke sofa, dia dapat menatap wajah comel itu dengan lebih dekat lagi. Betapa hatinya bergetar kuat bila melihat seulas bibir yang merah basah, pipi yang mulus, pucat. Adakah dia telah jatuh hati dengan gadis ini, bisik hati kecil Tengku Haikal. Tak mungkin, dia hanya ingin membalas perbuatan gadis itu padanya saja, sangkal hatinya yang satu lagi. Tapi tak kanlah kesilapan kecil hingga hendak berdendam, atau ini semua alasan untuk mengenali  gadis ini dengan lebih dekat lagi. Perasaan Tengku Haikal terus berbelah bagi. Dia mengeluh perlahan dan ini menarik perhatian Adura yang berada disisi. Direnungnya wajah tampan Tengku Haikal. Ah memang handsome gilerlah mamat sebelah aku ni. No wonder Kak Farah kata girlfriend dia keliling pinggang. Full pakage, handsome, kaya, ada kedudukan tak kurang otaknya yang brilliant tu. Mau tak cair perempuan dibuatnya. Oh tapi bukan aku. Dia akan cuba membekukan hatinya pada lelaki seperti ini. Tak mahu dia jadi seperti perempuan-perempuan lain. Lagi pun kak Farah dah nasihatkan dia supaya berhati-hati dengan Tengku Haikal. Perempuan yang didampinginya hanya untuk suka-suka, sebab bakal isteri Tengku Haikal akan dipilih dan dinilai oleh nendanya. So jangan sampai ada yang terluka sudah. Parah nanti. Adura teringin  untuk bertanya sesuatu kepada Tengku Haikal, tapi kerongkongnya seperti tercekik. Perasaan bingung dan bimbang menguasai dirinya. Adakah tujuan Tengku Haikal mengambil dia bekerja disyarikat ini hanya untuk membalas dendam keatas kejadian yang lepas atau sebaliknya. Kalau ia, bagimana? Apa yang perlu dia lakukan?
“Dah puas belek muka saya?”usik Tengku Haikal tiba-tiba bila dia perasan pandangan mata Adura yang masih berlabuh diwajahnya. Gadis itu terkejut. Ceh, kantoilah pulak. Berona merah wajah itu menahan malu. Segera dipalingkan wajahnya keluar tingkap. Sinar cahaya matahari yang dilindungi oleh pokok-pokok yang masih liar dikiri dan kanan jalan yang mencelah masuk membentuk lakaran halus seperti benang emas. Indah pemandangan ini dan cukup menenangkan tapi bukan pada gadis ini. Hatinya resah dan sentiasa berdebar.
“Adura..”lembut suara itu menegur mengejutkan dia dari lamunan.
“Awak marah saya ker?” soal lelaki disebelahnya tanpa menoleh dari tumpuan pemanduannya. Adura terkesima. Eh bukan ker dia yang sepatutnya marah kerana kejadian itu. Pasal apa pulak tanya aku, bisik hati Adura kehairanan.
“Marah pasal apa?” soal Adura pula. Pandangannya kini di tumpukan kearah lelaki disebelahnya. Kelihatan segaris senyuman terukir dibibir lelaki itu. Aduh..manisnya. Hati Adura bergolak lagi. Boleh kena kencing manis aku kalau hari-hari dihidang dengan senyuman seumpama ini, keluh hatinya.
“Marah sebab terkejutkan awak dengan cara perjumpaan ini” Tengku Haikal tahu tekaanya tepat. Adura segera menundukkan kepalanya. Bibirnya diketap. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab.
“Maafkan saya, tak sepatutnya saya buat begitu, tapi peluang depan mata, tak kanlah saya hendak melepaskannya” sambung lelaki itu lagi seperti berjenaka. Adura semakin bingung. Apa yang dimaksudkan oleh lelaki ini.
“Apa maksud Tengku?” lelaki itu ketawa.
“Kita bincang masa makan nanti”balasnya dalam senyum. Stereng kereta di hala ke Pulai Spring Resort. Hidangan disini boleh tahan sedap juga dan lebih privasi. Dia ingin mengenali gadis ini tanpa perlu risau pandangan sekeliling.
“Eh tak apalah Tengku, dah dekat dah dengan rumah saya. Kalau Tengku lapar, Tengku turunkan saya disini pun tak apa, saya boleh jalan kedepan” Adura menolak lembut. Segan dia nak berlama-lama dengan Tengku Haikal.
“Awak pun belum makan lagi kan, saya pun dah lapar. Kita makan dulu baru saya hantar awak balik. Nanti kita tapaukan kawan awak sedikit makanan. Siapa tahu hidangan disini nanti boleh menarik selera dia” Tengku Haikal tidak mengendahkan kata-kata gadis itu malah menjanjikan hidangan restoren taraf lima bintang untuk teman serumahnya yang sedang sakit. Adura terkedu dengan layanan baik Tengku Haikal. Tapi jiwanya tidak tenang. Seperti ada maksud lain dalam setiap tindakan yang diambil oleh lelaki ini.
Seorang pelayan membawa mereka ke meja mengadap padang golf yang membentang luas menghijau, menyejukkan mata yang memandang. Panorama yang begitu indah mengkhayalkan Adura seketika. Tidak sedar bahawa lelaki yang berada didepannya sedang leka mengamati wajah tenang dan redup miliknya. Tengku Haikal juga membiarkan dirinya tenggelam dalam keasyikkan menatap wajah gadis yang telah mula menghiasi waktu lenanya. Kedatangan pelayan yang membawa minuman menyedarkan pasangan itu dari lamunan masing-masing. Adura terkebil-kebil bila melihat jus epal kegemarannya sudah berada diatas meja manakala didepan Tengku Haikal pula terdapat oren jus sekali gus menjadikan wajah Adura merah padam kerana teringatkan kejadian yang hampir dua bulan sudah berlalu. Tengku Haikal yang menyedari perubahan pada wajah Adura tersenyum namun tidaklah pula dia memanjangkan cerita.
“Shall we..” pelawanya mengajak Adura untuk memilih makanan kerana hidangan tengahari disitu berbentuk buffet.
“..atau awak nak makan lain, kita boleh order?” soal Tengku Haikal bila melihat Adura tidak berganjak dari kerusinya. Gadis itu mengelengkan kepalanya.
“Saya tak ada selera…” Adura menolak lembut. Seleranya seperti hilang. Mungkin kerana keletihan ataupun terkejut kerana kejadian tadi.Wajah yang dilontar kepada Tengku Haikal mohon simpati. Tengku Haikal merenung lama wajah gadis didepannya kemudian  dia bingkas bangun. Tak sampai lima minit dia kembali semula dengan dua pinggan nasi yang penuh dengan lauk pauk. Satu didepannya dan satu didepan Adura. Terbuntang mata Adura melihat pilihan Tengku Haikal
“Saya tak tahu apa nak pilih, tapi saya harap awak suka. Makanlah sikit. Jangan biar perut masuk angin. Nanti awak pula yang sakit.” Pujuk Tengku Haikal lembut. Hati Adura terusik. Ada airmata ditubir matanya yang bundar. Teringat Tok Bah dikampung. Satu-satunya keluarga yang dia ada. Kak Yati hanyalah sepupu sebelah datuknya dan kedua ibu dan bapanya merupakan anak tunggal. Tok Bah sentiasa ambil berat tentang dirinya sejak kematian Tok Mak dan kedua ibu bapanya lima tahun yang lalu. Kedua ibu bapanya meninggal kerana accident dan Tok Mak pula kerana terkejut diatas kematian pasangan suami isteri itu. Tok Bah lah yang mengambil alih menjaga cucunya dengan rasa tanggunjawab dan penuh kasih sayang. Itu sebabnya bila Tengku Haikal memujuknya untuk makan, kenangan Tok Bah memujuk dia makan seminggu selepas kematian Tok Mak mengimbau kembali. Dicuba tahan airmatanya agar jangan sampai jatuh didepan lelaki ini. Namun gagal. Tengku Haikal  terkejut.
“Adura..kenapa dengan awak? Saya ada buat salah ke? Kalau awak rasa saya terlalu memaksa, saya minta maaf. Tak apalah kalau awak tak mahu makan. Nanti kita tapau aje. Tak baik membazir.” Suaranya memujuk. Tengku Haikal terus mencapai sudu dan memulakan suapan setelah membaca doa makan. Adura merasa serba salah. Airmata diseka dengan hujung jari. Dia segera membaca doa makan dan mencapai sudu untuk memulakan suapan. Tengku Haikal segera memegang tangan Adura untuk memberhentikan pergerakkannya. Matanya tajam merenung mata bundar Adura yang terkejut.
“Kalau awak tak mahu makan, jangan paksa. Nanti saya minta mereka bungkuskan makanan lain untuk awak”  perlahan suara Tengku Haikal masih memujuk. Adura mengelengkan kepalanya. Ditarik lembut tangannya dari gengaman Tengku Haikal.
“Tak apa, saya dah lapar. Tengok cara awak makan membuatkan saya jadi lapar” Adura cuba bergurau. Sebuah senyuman yang manis diberi kepada Tengku Haikal. Lelaki itu menelan air liur. Jus oren dicapai dan disedut rakus bagi menghilangkan debar dihati. Matanya tidak lepas merenungi wajah lembut Adura yang menunduk menyuapi hidangannya dengan tertib. Tengku Haikal menarik nafas panjang. Segera dia menyambung makan sambil mencari topik yang sesuai untuk disembangkan bersama gadis itu. Tanpa disedari aksi pujuk memujuk dan renung merenung itu menjadi tontonan sepasang suami isteri dengan begitu teruja sekali dari hujung dewan makan itu.

Bunyi derapan tapak kaki yang menghampiri meja makan mengejutkan Tengku Haikal, lebih-lebih lagi suara yang menegurnya..                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           
“Hello Bro…berdua aje ke?” satu suara menegur Tengku Haikal dengan nada mengusik.. Adura yang sedang ralit menyedut minuman mengangkat wajahnya, ingin melihat siapa yang datang. Wajah lelaki ini macam pernah dijumpainya dulu.
“Kau buat apa disini? Mana Su?’ soal Tengku Haikal tanpa menjawab soalan yang diberi.
“Su ke ladies. Along baru sampai ker?” soal lelaki itu. Adura baru teringat, ini pasti Tengku Danish adik kepada Tengku Haikal.
“Baru juga. Angah dah makan belum?” soal Tengku Haikal bila melihat adiknya asyik memerhatikan Adura yang sedang menunduk malu.
“Tak mahu kenalkan angah dengan girl friend along ker?” soal Tengku Danish mengusik tanpa menjawab soalan abangnya. Dia seperti pernah lihat gadis ini. Wajahnya berkerut cuba mengingati wajah comel didepannya itu. Kalau tak silap gadis ini merupakan salah seorang pekerja Serambi Catering yang menyediakan hidangan semasa hari jadi Maisarah. Tengku Haikal mendengus bila Tengku Danish menjungkitkan kening kepadanya. Dah ada bini pun sibuk dengan girlfriend orang, bisik hati kecilnya.
“Danish, ini Adura,my new PA, Adura ini salah seorang adik kembar saya, Tengku Danish..dan yang itu..” Adura menoleh, melihat seorang wanita yang anggun dengan blouse merah dan berskirt hitam berjalan menuju kerarh mereka”…Suhana, isteri Danish” sebaik langkah wanita itu berhenti didepan meja mereka. Wanita itu terkedu namun tersenyum bila dia sedari abang iparnya sedang memperkenalkannya dengan seorang gadis yang berada didepan Tengku Haikal. Comelnya gadis ni.
“ Hai, apa khabar, panggil je Kak Su, awak…?” ramah Suhana menegur. Tiada kekok atau menyombong. Senyumannya nampak ikhlas.
“Saya Adura kak…” jawab Adura sambil menghulurkan tangannya. Tersentuh dengan keramahan adik ipar Tengku Haikal.
“Eh…bukan ke dia..” belum habis wanita itu berkata terdengan jeritan kecil wanita itu bila punggungnya ditepuk oleh Tengku Danish. Mulutnya berkumat kamit bercakap sesuatu di telinga isterinya. Wajah Adura merona merah.
“Ish abang ni…tak ada tempat lain ke nak pukul…depan orang pulak tu. Su cuma nak kepastian jer…kalau yer apa salahnya. Seronok dapat ketawakan along sekali lagi” selamba jer Suhana perli suaminya yang sudah terkemut-kemut menahan tawa. Adura faham, ini mesti kisah dia tersembur oren jus kemuka Tengku Haikal.
“Eh along minum oren jus, tak serik ke?” usik Suhana lagi. Wajah Adura bertambah merah manakala Tengku Haikal dan Tengku Danish sudah ketawa terbahak-bahak mengundang jelingan dari pelanggan disekeliling.
“Err..saya minta maaf atas kejadian hari tu. Saya betul tak sengaja” perlahan suara Adura kedengaran setelah ketawa dua beradik itu reda. Tengku Danish dan Suhana yang sudah menarik kerusi untuk menyambung perbualan dengan Tengku Haikal terdiam. Ada sendu dihujung suara itu menandakan empunya diri berada didalam keadaan tertekan. Suhana segera memegang tangan Adura sambil menepuk perlahan. Wajah comel Adura dipandang penuh kasih sayang. Entah mengapa dia seperti mudah mesra dengan gadis ini.
“Maafkan kakak Dura, buat awak rasa tidak selesa. Kami tak bermaksud hendak mengungkit perkara yang dah berlalu tapi kami seronok bila lihat along dalam keadaan begitu, lelaki yang selalu control macho tiba-tiba kuyup dengan jus oren, awak buatkan hidup along kembali ceria selepas..” belum sempat dia menghabiskan ayat, sekali lagi Suhana menjerit. Wajahnya pantas melihat kearah lelaki didepannya.
“Abang tendang kaki Su yer…” soalnya geram. Wajahnya yang anggun sudah masam mencuka menahan kesakitan. Tengku Danish memberi isyarat kekanan dimana duduknya Tengku Haikal yang sudah berwajah tegang. Suhana terus menekup mulutnya. Comel keanak-anakan.
“Dah..dah..korang kalau tak mengutuk along tak boleh ker? Adura, awak jangan ambil kisah hal mereka berdua. Makan cepat nanti saya hantar awak balik” tegas suara Tengku Haikal mengembalikan Adura ke masalah sebenar yang sedang dihadapinya.
“Eh along, takkan nak balik dah. Adura kenapa? Demam ke?” soal Suhana masih menyibuk. Diperhatikan wajah comel yang kelihatan sedikit pucat itu lama.
“Tak ada apa-apalah kak…” Adura mengelengkan kepalanya. Pinggan makannya ditolak ketepi. Seleranya sudah tiada. Dikerling pinggan makan Tengku Haikal, licin bersih. Lapar benarlah lelaki ini seperti yang dikata.
“Angah hari ni tak kerja ke?” Tengku Haikal menyoal sambil menyedut baki minumannya. Suhana dan Tengku Danish saling berpandangan lalu tersenyum. Tengku Haikal memandang pasangan suami isteri itu dengan hairan.
“Along tanya dia boleh pulak senyum-senyum..”ngomel Tengku Haikal geram.
“Hari ni angah cuti, celebrate anniversery perkahwinan kami yang ke lima. Meniti tempat-tempat kami dating dulu..termasuklah tempat ini” terang Tengku Danish tanpa segan. Suhana tersenyum sambil tunduk malu.
“Oh..tahniah Kak Su, Tengku. Dura doakan semoga Kak Su dan Tengku dirahmati Allah dan bahagia hingga keakhir hayat” petah mulut Adura mengucapkan tahniah. Tangan dihulur kepada Suhana, namun wanita itu terus menarik Adura kedalam pelukkannya.
“Terima kasih Dura. Kamu orang pertama yang mendoakan kami berdua untuk hari ini” ceria sekali nada suara Suhana. Adura yang dipeluknya tersenyum. Tanpa disedari pandangannya bertaut pada Tengku Haikal yang memandangnya dengan senyuman terukir dibibirnya.
“Dengan abang tak nak peluk ke Dura?” Tengku Danish mengusik sebaik melihat isterinya melepaskan Adura dari pelukkannya. Terbuntang mata Adura. Wajahnya berubah kemerahan.
“Danish…kau cuba jangan nak mengada-ngada .” tempelak Tengku Haikal geram. Perangai suka mengusik Danish itu sering menyebabkan Tengku Haikal sesak nafas.
“Hai along, cemburu ker? Isteri angah pun tak kata apa…” Tengku Danish mengeyitkan mata pada isteri kesayangannya. Wanita itu tertawa. Dia sedar suaminya sengaja menyakat abang kesayangan mereka untuk mengetahui reaksi lelaki itu terhadap gadis yang duduk bersama mereka. Muka Tengku Haikal yang telah berona merah nampak tegang. Dia segera memanggil pelayan yang bertugas meminta bil. Adura yang melihat wajah tegang Tengku Haikal menelan air liur. Perasaan gementarnya kembali. Dia menarik nafas perlahan-lahan.
“Err…Tengku, saya nak ke tandas sekejap” tuturnya tenang. Dalam kepala sudah merancang sesuatu. Beg tangan dicapai dan dia segera menuju jalan ketandas. Apabila pasti kedudukannya agak terlindung dari meja makan mereka, Adura segera berjalan pantas menuju ke exit door yang berdekatan. Nasibnya baik bila dia melihat sebuah teksi yang baru saja menurunkan penumpang berbangsa Jepun disitu. Sebaik penumpang itu turun, Adura segera masuk dan memberi alamat jalan yang hendak ditujunya.
“Adura?” tegur pemandu teksi itu. Adura terkejut. Segera dia mengangkat wajahnya dan merenung pemandu teksi didepan . Matanya bulat kerana terkejut.
“Eh Abang Dzul, tak sangka jumpa kat sini pula. Abang apa khabar?” soal Adura ramah. Lelaki yang di panggil abang Dzul itu tersenyum. Kejadian hampir dua bulan yang lalu masih segar dalam ingatan mereka. Membawa Adura lari dari dikejar Tengku Haikal membawa kepada hubungan silaturahim yang masih kekal hingga hari ini.
“Abang baik. Kak Nurul pun baik. Cuma Akma demam sikit. Dura buat apa kat sini?” soal abang Dzul sebaik memulakan pemanduan. Adura mengeluh. Nak beritahu segan, tak beritahu abang Dzul dah banyak menolong.
“ Panjang ceritanyanya bang…” lelaki itu ketawa. Dilihat wajah Adura sudah cemberut.
“ Tak apa…abang sedia mendengar ..nanti bolehlah cerita dengan Kak Nurul” balasnya sambil tersenyum.


Tengku Haikal melihat jam ditangan. Kelibat Adura masih belum kelihatan. Hairan juga dia. Lama benar gadis itu ke tandas. Gelas Suhana dan Tengku Danish juga sudah hampir kosong. Perasaannya mula cuak. Dia teringat sesuatu. Pintu exit dan toilet tidak begitu jauh antara satu sama lain. Adakah gadis itu sudah melarikan diri lagi?
“Damn! “ jerit Tengku Haikal perlahan mengetuk meja. Tengku Danish dan isterinya terkejut bila melihat Tengku Haikal yang tiba-tiba angin.
“ Along, kenapa ni?” soal adiknya terpinga-pinga. Isterinya turut sama merenung kewajah abang iparnya yang sudah berubah kelat.
“Dah along nak balik pejabat.” Tengku Haikal mula bangun dan menolak kerusinya kebelakang. Tengku Danish hairan. Bukankah tadi kata abangnya hendak menghantar Adura pulang, tapi kenapa tidak ditunggunya gadis itu.
“Eh along, Dura macamana?” soalnya pantas.
      “Dah balik…” pendek jer jawabnya. 
       
        Selamba jer dia meninggalkan pasangan suami isteri yang termangu-mangu             namun bila dia mendengar suara Tengku Danish yang ketawa sakan, dia turut          tersenyum sumbing. Terkena lagi. Tak apa esok ada lagi.nak kemana larinya            gadis itu. Taulah dia apa nak dibuat esok.Ini Tengku Haikallah cik adik oii.            Belum pernah ada wanita yang pernah  mempermainkannya sebelum ini, tapi          dia tetap tersenyum bila mngenangkan  gadis yang nampak naif ini ligat                    berfikir cara untuk melarikan diri.

      Next time dia akan lebih bersedia. Dia mula merancang. Senyuman manis  ,             menghiasi  bibirnya yang merah menemani sepanjang perjalanannya pulang ke         pejabat.

Tuesday, 15 April 2014

Milik Siapa hatimu
BAB 13
Adura berada di pantri sewaktu Tengku Haikal kembali ke biliknya. Tengku Haikal sempat menjeling ke meja kosong yang terletak berhadapan dengan Farah . Dia memberi sedikit masa sebelum butang interkom ditekan membawa pesanan terus ke meja Farah .
“Farah panggil Adura masuk jumpa saya dan minta dia bawa file Projek J-PO  sekali” serius suara Tengku Haikal di talian.
“Baik Tengku.” Farah menjawab sambil matanya memandang kearah Adura yang sedang menatang dua mug air milo untuk mereka berdua.
“Ni Kak…Dura buatkan air milo…minum panas-panas baru sedap.” Katanya sambil meenhulurkan salah satu mug kepada Farah dengan berhati-hati.
“Thanks…ini yang buat akak sayang dengan Dura…macam tau-tau aje apa yang akak nak…” usik Farah sambil tersenyum. Dengan segera dia menghirup air milo yang dibuat oleh Adura.
“emm…sedapnya. Beruntunglah mana-mana lelaki yang menjadi suami Dura…bukan saja cantik, buat air milo pun sedap…”usik Farah lagi.
“Akak ni…ada pulak macam tu. Bukanlah susah mana nak bancuh air milo tu…semuanya 3 in 1lah kak…” jawab Adura sambil menjeling kearah Farah yang sedang ralit menghirup air milo yang dibawanya tadi.
“Oh Dura, lupa pulak akak… bos nak jumpa.Bawa sekali file Projek J-PO”kata Farah sambil tangannya terus menghirup air milo yang dihulurkan oleh Adura tadi, Sedapnya dapat minum air panas dalam kedinginan air cond yang mencecah suhu 20 darjah Celsius dibilik yang didiami oleh mereka berdua sahaja.
“Alamak kak..Dura takutlah…” gadis itu mula mengelabah. Baju kurung warna ungu yang dipakainya di perbetulkan. Rambut yang tadinya agak berserabai disisir kemas. Langkahnya kekiri kekanan tidak menentu. Nak tergelak Farah melihatnya.
“Apa nak takut, lambat laung pun kamu kena jumpa dia juga. Dah pergi. Tengku Haikal tidak suka menunggu dan untuk pengetahuan Dura, Tengku tak makan orang..dia cuma …” Farah membiarkan ayatnya tergantung begitu saja dengan niat untuk mengusik sambil matanya dipejamkan menikmati kelazatan air milo ditangannya. Adura menjeling geram namun dia tidak menunggu lama. Sambil membaca Bismillah dia segera mencapai file yang dipinta dan terus menuju kebilik Tengku Haikal. Di ketuk perlahan pintu  sambil memberi salam sebelum masuk.
“Masuk” kedengaran suara garau dari dalam bilik sebelum dia memulas tombol pintu untuk masuk. Matanya tertumpu terus kemeja kerja Tengku Haikal. Yang kelihatan hanyalah belakang kerusi. Ish orang tua ni sengaja nak buat drama dengan bersembunyi dibalik kerusi tu tau? Rungut Adura didalam hati. Sengajalah duduk membelakangkan pintu. Ish…sakit jantung aku.Adura terus membel didalam hati. Kalu Tengku Haikal nampak pasti lelaki itu ketawa bila melihat mulut gadis itu yang terherot-herot menahan geram.

“Kenapa tercegat lagi. Tutup pintu tu dan duduk” jerkah Tengku Haikal perlahan. Adura tersentap. Nasib baik tak melatah. Eiikk..dia ni ada mata ke kat belakang kepala agaknya.. Mana dia tahu aku tercegat kat sini. Ish orang tua ni tak boleh buat main. Sedangkan diJerman dia boleh tahu aku pakai baju apa inikan pula duduk senegeri. Mengeletar tangan Adura ketika menutup pintu. Langkahnya longlai menapak ke kerusi yang berada didepan meja Tengku Haikal. Sebaik punggungnya dilabuhkan ke kerusi yang buat pertama kali didudukinya itu, Tengku Haikal berdehem.

“Macamana kerja? Ada masalah?” soalnya tiba-tiba. Adura menelan air liur. Perasaan gugupnya masih menebal dihati.
“Alhamdulillah, buat masa ni tiada masalah.”  jawabnya jujur . Ada getar di dalam nada suaranya . Tengku Haikal ketawa kecil.
“Awak takut ke?”soal lelaki itu lagi. Adura semakin kalut. Tangannya mula terasa sejuk
“Biasa aje” Adura cuba menyembunyikan perasaannya. Tengku Haikal ketawa lagi. Yalah tu. Macam orang tak tahu perangai kalut dia..
‘Beri saya sedikit masa lagi dan err Dura, didepan awak ada beg kertas putihkan,” soal Tengku Haikal namun dia tidak bergerak dari posisi itu. Adura yang merasa tidak selesa menjeling kekiri.
“Ya” pendek jawabannya.
Cuba lihat isi didalamnya?” arah lelaki itu lagi dengan tenang namun dia tidak beralih dari kedudukkannya yang masih membelakangkan Adura. Tangannya asyik menyelak helaian dokumen dididepannya. Adura melihat isi kandungan beg kertas bewarna putih itu. Sebuah beg kulit yang cantik dengan lambang Prada menarik pandangan Adura. Untuk siapa beg ni. Cantik.
“Cantik?” soalnya lagi.
“Cantik.” Balas Adura malas.
“Awak tak suka?”
“Kenapa pulak?”
“Dari nada suara awak seperti tak suka.Kalau awak tak suka, kita tukar lain.” Nada suara lelaki itu seperti dia sedang berkecil hati. Adura blurr. Pasal apa tanya aku pulak ni.

“Err…Tengku, beg ni siapa punya? Tengku tanyalah sendiri dengan tuan empunya diri. Tanya saya buat apa.?’ngomel Adura tanpa menyedari yang berhadapan dengannya kini adalah CEO syarikat Maju Bersatu Holdings, bukannya Encik Farid atau Kamil, atau Adam yang sibuk mengejar cintanya. Lelaki didepannya ketawa. Berderau darah Adura. Ketawa itu seperti pernah didengarinya sebelum itu, Tapi dimana? Dahinya berkerut cuba mengingati.

“Beg itu untuk awak. Hadiah kejayaan kita mendapat tender di Jerman hari tu.” Jawabnya sebelum memusingkan kerusinya mengadap Adura. Adura yang masih tidak perasan dengan lelaki didepannya menjerit gembira.
“OH ia ke…terima kasih. Saya suka…saya suka. Cantik,..” tangan nya segera mencapai beg kertas dan mengeluarkan beg Prada yang menjadi idamannya.
Wajah yang penuh teruja itu kembali diangkat kearah lelaki dihadapannya. Matanya membuntang dengan mulut ternganga bila matanya bertembung dengan mata Tengku Haikal. Tiada sepatah perkataan yang keluar dari mulut comel itu. Nafasnya seperti terhenti. Wajah yang berona merah bertukar pucat dengan tiba-tiba. Beg yang di pegang hampir terjatuh kelantai.

“Hello my little white mouse , how nice seeing you again” usik Tengku Haikal nakal. Adura serba tidak kena. Dadanya berombak kencang. Tangannya sejuk. Matanya tetap memandang wajah Tengku Haikal tetapi ingatannya entah kemana. Bila dia kembali sedar, dirinya sudah terbaring di sofa. Farah sedang menepuk- nepuk pipinya dengan perlahan. Tengku Haikal yang sedang berdiri memegang mug berisi milo panas diam tidak berkutik. Wajahnya kelihatan sedikit cemas. Adura segera bangun dari pembaringan . Rasa segan menyelubungi dirinya bila dua pasang mata asyik merenunginya.
“Kenapa Kak, apa yang berlaku?” soal Adura perlahan. Farah yang membantunya duduk tidak menjawab. Mug milo yang dihulur oleh Tengku Haikal di sambut lalu disuakan kepada Adura.

“Minum dulu. Itulah akak suruh kamu cuti jer hari ni kamu tak mahu. Sudahlah tak tidur semalaman menjaga si Jun, hari ni berkejaran pula hantar dia ke klinik, mana tak penat” bebel Farah sambil menjeling kearah Tengku Haikal yang masih tidak berganjak dari sisi Adura. Hatinya masih juga cuak akan kejadian yang berlaku diantara Adura dan Tengku Haikal sehingga membuatkan gadis itu pengsan. Suasana menjadi senyap sebaik Farah habis membebel. Adura hanya membisu sambil menghirup milo panas itu perlahan-lahan.
“Siapa Jun?” soal Tengku Haikal perlahan. Ada nada cemas dihujung ayatnya.
“Teman serumah Dura, peminat Farid” Farah bercerita tanpa selindung. Adura mencegilkan matanya. Dicubit perlahan lengan Farah.
“Akak ni, itu pun nak cerita. Itu cerita orang perempuanlah..’ ngomel Adura tiba-tiba.Wajah yang pucat tadi sudah kembali merah. Ah lega dada Haikal bila melihat wajah gadis didepannya sudah kembali berwarna. Bimbang bukan kepalang dia bila Adura tiba-tiba jatuh terjelupuk dibawah meja. Dia cuba menyedarkan gadis itu dengan memanggil namanya beberapa kali tapi gagal.Di periksa ubun-ubun kepala gadis itu jika ada kesan terantuk kepada bucu meja atau kerusi. Tapi untuk memeriksa lebih-lebih, dia tak sanggup, takut tak kuat iman.

Gadis itu di cempung dan dibaringkan ke sofa panjang yang terdapat dalam bilik pejabatnya. Direnung wajah pucat gadis itu sebelum dia bertindak memanggil Farah meminta bantuan. Farah yang menerpa masuk dengan perut yang membuyut itu mengucap panjang sambil mengomel bila melihat rakannya terbaring tidak sedarkan diri. Berbagai soalan diajukan kepada Tengku Haikal punca kejadian itu tanpa menghiraukan status bos dengan pekerja. Tengku Haikal hanya menceritakan mana yang patut saja, tanpa menceritakan kejadian sebenarnya.

“Kalau awak tak larat kerja, saya bagi awak cuti Adura. Rehat dan tenangkan fikiran.” Tengku Haikal bersuara serius. Dia berjalan menuju kemeja kerjanya semula. Beg Kertas yang mengandungi beg jenama Prada itu dihulurkan kepada Adura.  Gadis itu mendongakkan mukanya memandang Tengku Haikal .
“Ini untuk awak, atau awak nak tukar yang lain?” soalnya selamba. Wajah Adura bertambah merah. Farah yang mendengar perbualan itu tercengang.
“Tapi mahal sangat hadiah tu Tengku, saya bukan ada buat apa pun..” jawabnya merendah diri. Beg yang dihulur masih tidak berpindah tangan. Tengku Haikal tersenyum. Kalaulah gadis ini tahu berapa banyak dia habiskan wang berjumlah puluh ribu ringgit membeli hadiah buat teman wanitanya sebelum ini ,pasti pengsan gadis ini buat kali kedua.
“Ambik ajelah Dura, Kak Farah pun bos dah bagi pagi tadi. Beg tote jenama Coach. Senang nak bawak barang anak nanti kalau dah bersalin” jelasnya sambil ketawa. Dicapai beg kertas dari Tengku Haikal dan menyerahkannya kepada Adura yang masih menatap mug milo di tangannya.
“Terima kasih Tengku.” Ucapnya perlahan tanpa mengangkat muka. Segera dia bangun meninggalkan Tengku Haikal bila dilihat Farah sudah beransur menuju keluar. Langkahnya yang sedikit longlai di sedari oleh Tengku Haikal.
“Awak balik dengan apa Adura?” soal Tengku Haikal tiba-tiba, mematikan langkah gadis itu dan Farah.
“Saya drive.” Jawabnya pendek. Lelaki itu mengelengkan kepalanya.
“Macamana awak nak drive kalau keadaan awak macam ni?” soalnya lagi. Adura menjadi kurang senang dengan sikap perihatin Tengku Haikal yang secara tiba-tiba saja. Tadi masa buat surprise sketsa tidaklah pula memikirkan perasaannya sehingga dia begitu terkejut dan pengsan.
“Boleh je, tak jadi masalah” malas nak bercakap lama-lama dengan lelaki sengal merangkap bos nya itu.
“Sudah biar saya hantar awak balik aje. Pergi collect barang awak dan tunggu saya disitu”arahnya tegas. Adura hendak membantah namun di halang oleh Farah.
“Betul cakap bos tu Dura. Akak pun tak percaya sangat kau boleh memandu dalam keadaan begini.”
“Tapi kak..seganlah Dura” dia masih cuba hendak mengelak.Baru bercadang nak melarikan diri dari lelaki ini,ada saja halangan.
“Dah jangan fikir. Ambil barang kamu. Nanti PC tu akak akan offkan dan nah bawa balik sekali beg hadiah dari bos dan jangan lupa, rehat” nasihat Farah bila dilihat Tengku Haikal muncul di depan mereka. Adura mau tak mau terpaksa mengekori Tengku Haikal menuju ke lif.  Perasaannya bercampur aduk, terkejut, teruja, malu dan geram, semuanya ada. Dan dia mengesyaki bahawa Tengku Haikal memang sudah mengetahui siapa dirinya sebaik saja dia diterima bekerja disini. Itu sebabnya dia nampak bersahaja aje bila menelefonnya dari Jerman tempohari. Alahai nasib badan. Itulah kalau bercakap suka ikut sedap mulut saja, inilah balasannya. Apa yang perlu dia buat untuk melarikan diri. Kontrak sudah dipatri, janji sudah dibuat dengan Kak Farah yang sedang menunggu hari untuk bersalin. Eii..pening kepala.
“Masuk.” Tengku Haikal membuka pintu di sebelah penumpang sambil berdiri disisi kererta. Adura yang berjalan dengan kepala yang berserabut dengan masalah terkejut.
“Tengku, biar saya bawa kereta saya sendirilah. Kalau naik kereta Tengku, kereta saya macamana pula. Esok saya nak pergi kerja naik apa?” soal Adura laju. Wajahnya kemerahan kerana malu bila dia menyedari beberapa pasang mata memandang kearah mereka.

“Kereta awak biar disini. Esok pagi saya ambil awak dirumah.  Housemate awak masih MC kan. Kalau tidak saya hantar keduanya sekali esok?” pantas Tengku Haikal mengatur rancangan.
Tiada alasan untuk Adura membantah. Selepas dia memastikan Adura sudah berada didalam kereta dan memakai talipinggang keselamatan, barulah Tengku Haikal menutup pintu dan masuk ke bahagian pemandu pula. Kereta BMW hitam model terbaru itu meluncur laju meninggalkan bangunan Maju Bersatu Holding.
Maya yang melihat dari sebalik dinding kaca itu melopong. Wah cerita sensasi hari ini nampaknya sambil tersengih. Cantiknya pasangan ini. Tengku Haikal yang memakai kemeja berwarna ungu cair dan berslack hitam dan Adura yang berbaju kurung ungu, rambut lepas kebahu nampak sedondon dan sepadan pula. Kemudian dia menepuk dahi bila dia teringat pertanyaan Tengku Khatijah mengenai wanita berbaju kurung ungu dan berambut panjang, bukankah Adura adalah salah seorang dari ciri-ciri wanita yang dicarinya tadi. Alamak, macamana boleh tak ingat ni , Maya mengomel sendirian. 

Monday, 14 April 2014

Milik Siapa Hatimu
BAB 12
Adura melangkah masuk kepejabat agak lewat sedikit dari biasa. Selalunya dia datang awal tapi disebabkan teman serumahnya demam, dia terpaksa menghantar sahabatnya itu ke klinik dahulu sebelum memandu ketempat kerja. Kelewatannya pagi ini telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Farah . Pantas langkahnya menuju bangunan lima tingkat itu sebaik keretanya di pakir.

 Adura agak terkejut sebaik memasukki ruang lobby syarikat. Suasananya agak sibuk sedikit dari biasa. Apa yang sedang berlaku? Maya kelihatan cukup sibuk melayan pelanggan dan kakitangan syarikat sambil menjawab panggilan telefon Adura segera menghampiri Maya yang baru saja meletakkan gagang telefon.

"Maya, kenapa riuh semacam ni. Ada apa?"soal Adura separuh berbisik. Maya yang baru saja hendak membuka mulut untuk bercerita terpaksa membatalkannya apabila deringan telefon meminta perhatian. Adura mengeluh. Dia bukan bermaksud hendak bergosip,tapi perlu persediaan diri untuk mengetahui apa jua aktiviti yang dijalankan oleh syarikat. Matanya liar memmerhatikan keadaan disekeliling. Tiba-tiba dia merasa dirinya seperti sedang diperhatikan.. Adura segera menoleh.
Matanya terpaku pada seorang wanita yang sudah agak berusia namun kelihatan anggun dengan baju kebaya berwarna coklat dan selindang warna senada yang menutupi kepalanya. Wajah itu mengingatkan Adura kepada seseorang, orang yang telah lama pergi meninggalkannya. Nafasnya sedikit laju. Dadanya berdebar kencang. Bibirnya hampir menyebut nama itu namun Maya terlebih dahulu menyedarkan dia dari lamunan.
" Dura, cepat naik. Kak Farah dah tanya. Bos cari." pantas Maya menyampaikan pesanan sedangkan dia tahu Adura sepatutnya masuk kerja tengahari.
 Adura mengelabah. Dia baru teringat bahawa Tengku Haikal akan pulang pada hari ini, tapi tidak menjangka lelaki itu sudah mula bekerja.? Pukul berapa dia sampai? Tak penat ke? Adura menggeleng-gelengkan kepalanya. Namun langkah gadis itu pantas meninggalkan Maya yang berserabut melayan kerenah beberapa orang pelanggan.. Adura mengerling semula kearah wanita tadi. Senyuman mesra dilemparkan kearah wanita tersebut yang kini sedang bercakap di handphone. Namun wanita itu tidak membalas senyumannya malah merenungnya dengan kerutan di dahi. Adura segera memalingkan wajahnya kearah pintu lif yang baru saja tertutup untuk keatas. Dia mengeluh.  Pasti lambat kalau menunggu.
Adura tidak menunggu lif sampai kebawah. Dia mula menapak kearah pintu yang berdekatan. Naik tangga lagi cepat. Setibanya dia dipejabat yang menempatkan dia dan Farah, nafasnya sudah tercungap-cungap kepenatan. Farah yang melihat keadaan Adura mengelengkan kepalanya.
"Naik tanggalah ni?"soalnya seperti biasa. Adura mengangguk. Matanya mengerling kearah bilik Tengku Haikal.
"Kalau Dura naik lif tadi pasti terserempak dengan bos. Dia baru saja turun dengan tergesa-gesa." jelas Farah bila dia perasan Adura terjenguk-jenguk memandang pintu bilik Tengku Haikal yang tertutup rapat. Kedengaran keluhan perlahan keluar dari bibir gadis itu.
"Bos marah ke kak sebab Dura datang lambat?"soalnya bimbang. Maklumlah baru confirm kerja dah buat hal. Farah tersenyum, tahu sangat apa yang bermain difikiran gadis manis didepannya.
"Taklah, bos tak marah,lagipun Dura ada call akak yang Dura masuk lambat, so bos tak boleh kata apalah walaupun dia ada bertanyakan Dura tadi. Jangan risaulah, kejap lagi bos masuk balik" Farah cuba menenangkan anak didiknya yang tampak gelisah. Adura mengangguk dan mula menyemak semula kerja-kerja yang perlu di kemas kini sebelum di hantar kepada bahagian audit.


Tengku Haikal terkocoh-kocoh mendapatkan nendanya yang sedang menunggu di lobby. Mimpi apa agaknya nenda hendak berjumpa dengannya di pejabat. Selalunya jika dia hendak bertemu dengan Tengku Haikal, mereka akan berkumpul dirumah bonda atau makan malam dimana-mana restoren yang menjadi kegemarannya. Niat hatinya untuk bersua muka dengan Adura  terpaksa ditangguhkan dulu. Ah tak sabar rasanya untuk melihat wajah comel milik gadis itu. Pasti gadis itu terkejut bila mendapati bosnya adalah lelaki yang sama yang dipanggil sengal sebelum ini. Apa agaknya alasan yang akan diberi oleh gadis itu untuk melarikan diri. Tengku Haikal tersenyum sendirian tanpa menyedari langkah kakinya telah hampir ke tempat yang hendak dituju.
"Hah !Kamu nak kemana tu Carl?"jerkah Tengku Katijah bila dilihat cucunya berjalan sambil tersengih sendirian seperti orang angau. Tengku Haikal tersentak. Dia menoleh dan mencari wajah nendanya yang sedang duduk disofa sambil berpeluk tubuh. Dirapati wanita itu lalu di dipeluknya mesra.
“Nenda nak datang kenapa tak cakap? Boleh Kal tunggu kat lobby tadi.” Katanya sambil mencium kedua belah pipi Tengku Khatijah.
“Hai nak datang ke syarikat sendiri pun nak kena beritahu ke?” perli nendanya selamba. Tengku Haikal ketawa.
“Mestilah, siapa tahu nenda nak buat spot check. Tak pasal-pasal terkantoi waktu tengah mengurat anak dara orang pulak” jawabnya sambil bergurau. Ah teringat pula pada sicantik Adura. Eh mana budak ni pergi ek, dah naik atas ker? Bisik hati kecil Tengku Haikal sambil matanya melilau mencari jika ada bayang gadis itu dilobby. Tengku Khatijah yang perasan dengan tingkah laku cucu kesayangannya itu berdehem.
“Cari siapa Kal?” soalnya serius. Tengku Haikal pura-pura memandang sekeliling ruang lobby sambil mengerutkan keningnya.
“Tak ada siapa, Cuma berfikir nak renovate sikitlah lobby ni, agar nampak sedikit perbezaan dari sekarang.”terangnya sambil memandang wajah nendanya yang sedang merenung tajam kearahnya. Kalau siapa yang tidak biasa dengan Tengku Khatijah, pasti akan merasa gentar dengan jelingan tajam wanita yang telah berumur diawal 70 puluhan itu.
“ Errr..nenda call Kal turun tegesa-gesa tadi kenapa? Lintang pukang Kal tinggalkan ofis..” soalnya ingin tahu. Tak sempat dia nak jumpa Adura . Wajah Tengku Khadijah di renung lembut. Masih kelihatan keanggunan pada raut wajahnya yang di belai rapi . Garis-garis halus yang menandakan dia seorang wanita yang luas pengalaman kelihatan di tutup dengan bedak nipis.
“Nenda terpandang seseorang yang bonda ingin kenali, tapi belum sempat Kal turun gadis itu hilang entah kemana. Nenda nak cari dia. Nak tahu siapa dia.” Perlahan suaranya seolah dia seperti berada didunianya sendiri. Matanya merenung kearah tempat yang menjadi kali akhir dia melihat wajah itu. Tengku Haikal terkejut. Tidak pernah nendanya berperangai seperti itu sebelumnya.
“Nenda tahu siapa dia?” soal cucunya ingin menolong.Perhatiannya kini tertumpu terus kearah Tengku Khatijah. Tengku Haikal memang cukup peka dengan sikap wanita ini.
“Kalau nenda tahu tak payahlah nenda tanya Kal” ngomelnya. Tidak disangka tujuannya yang sekadar datang untuk melawat syarikat yang telah ditinggalkannya hampir dua puluh tahun itu tiba-tiba membawa dia kembali kezaman silamnya.
“Dimana kali terakhir nenda melihatnya?” soal Tengku Haikal lagi cuba menyelami perasaan nendanya yang nampak sedikit terganggu.
“Di pintu lif, tapi sebelum itu dia berada bersama Maya..” jelas nenda sambil bangun dari sofa dan menuju kearah gadis penyambut tetamu itu. Tengku Haikal yang terkebil-kebil melihat kelakuan nendanya segera bangun dan mengekori dari belakang.
“Mak Engku, Tengku, boleh saya bantu?” sopan Maya menegur. Wajah wanita didepannya direnung dengan perasaan berdebar. Hari ini dia sedikit kelam kabut kerana banyak tetamu dan supplier yang hadir disebabkan pembukaan sales bagi projek shopping mall di Pontian telah bermula. Ini diikuti pula dengan kembalinya big bos dan kedatangan Tengku Khatijah lagi lah menghuru harakan keadaan bila ramai staf yang mengambil kesempatan untuk melihat wajah Tengku Khatijah dengan lebih dekat.
“Maya, tadi gadis yang bersembang dengan awak siapa namanya?” soal Tengku Khadijah penuh harapan. Maya termenung cuba untuk mengingatinya. Berkerut wajah itu memikirkannya. Banyak juga wajah yang tergambar di kotak mindanya.
“Yang mana satu Puan, ramai juga perempuan yang saya layan hari ni. Maklumlah…”\
“Yang pakai baju kurung warna purple dan berambut panjang” terang Tengku Khatijah pantas. Maya cuba untuk mengingatinya tapi hampa. Ada tiga orang yang berbaju kurung ungu hari ni tapi berlainan style dan fesyen dan  berambut panjang. Susah nak ingat ni.
“Mungkin supplier atau customer kut, Mak Engku. Maaflah saya tak dapat nak ingat.” Maya meminta maaf. Perasaan kecewa menghantui dirinya. Bimbang dimarah juga ada. Wajah wanita didepannya nampak hampa. Tengku Haikal menepuk-nepuk lengan nendanya memujuk.
“Tak apalah nenda, kalau ada rezeki pasti jumpa lagi. Terima kasih Maya kerana membantu.” Ucap Tengku Haikal sopan. Ditariknya tangan nendanya kembali ke sofa. Wajah wanita itu direnung lembut. Ada sedikit kehampaan pada sinar matanya. Tengku Haikal menarik nafas.
“Nenda janganlah sedih. Nanti hilang mood Kal nak kerja hari ni. Kejap lagi Kal ada meeting dengan client, tak dapatlah pulak nak beri tumpuan kalau teringatkan nenda yang tengah bersedih macam ni.” rengeknya manja. Bahu wanita itu di peluk manja. Tengku Khatijah menarik nafas perlahan. Ditepuk perlahan-lahan lengan cucu kesayangannya itu. Mungkin bukan rezekinya lagi.Namun dia tetap tidak akan berputus asa. Kalau perlu dia datang hari- hari ke syarikat ini untuk bertemu dengan gadis itu, dia akan melakukannya. Asalkan persoalan nya berjawab.
“Yalah…nenda dah ok. Tolong panggilkan Bakar, nenda nak balik dah. Dan jangan lupa hari sabtu ni, kita makan malam sama-sama diTeratak Bonda. Dah lama nenda tak berkumpul dengan papa dan mama kamu serta cucu-cucu nenda yang lain. Mungkin boleh ajak Aisya dan Aleena sekali. Ramai sikit.” arah Tengku Khatijah tegas. Tengku Haikal termenung. Mengikut kata Farah, Adura nak belanja makan pada hari Sabtu ni juga, macamana ni.
“Kal ada temu janji dengan kawanlah nenda, dah plan dari masa Kal di Jerman lagi. Apa kata mereka pulak kalau tiba-tiba Kal tak pergi” sayu suaranya seolah memujuk.
“Tukar hari lain..boleh kan?” soal nendanya tajam. Lelaki itu menelan air liur. Tak boleh nak menolaklah gayanya.Kalau kata nenda hitam, hitamlah jawabnya. Jangan nak dibantah. Merajuk dan anginnya ajer boleh beri orang sakit kepala berminggu lamanya.
“Ialah nenda, nanti Kal akan bincang dengan mereka”jawabnya mematikan perbincangan sebaik ternampak kelibat Pak Bakar merangkap pemandu Tengku Khatijah keluar membuka pintu kereta untuk Puannya.
“Nenda balik dulu. Jangan lupa pesanan nenda dan jangan lewat.” Ujar Tengku Khatijah sebaik Tengku Haikal melepaskan tangannya selepas mencium hormat.
“Yalah nenda, baik-baik Pak Bakar bawa kereta.Jangan laju sangat.”

“Ya Tengku, Assalamualaikum” balas Pak Bakar sebelum masuk ke bahagian pemandu dan memandu perlahan kereta itu keluar dari kawasan syarikat Maju Bersatu Holdings. Tengku Haikal menarik nafas dalam sambil menjawab salam. Ingatannya kembali kepada gadis yang ditunggu dari pagi tadi. Wajahnya kembali ceria. Ada senyuman nakal menghiasi bibirnya ketika melangkah laju menuju ke pintu lif. Hai hai hai..my little white mouse.,your “sengal” is home..hatinya berbisik gembira.

Sunday, 13 April 2014

Milik Siapa Hatimu
BAB 11

Hari ini genap sebulan Adura bekerja di Maju Bersatu Holdings. Kata-kata semangat yang di beri oleh Encik Farid ketika menyerahkan appointment letter dan kontrak kerja pada minggu lepas di imbas kembali.

" Cepatnya syarikat mengesahkan jawatan saya. Mengikut masa interview hari tu ia mengambil masa dua atau tiga bulan" soal Adura kehairanan. Farid yang sedang ralit melihat gadis itu membaca appointment dan contract kerja tersenyum. Ish kalaulah dia tahu ini semua atas permintaan Tengku Haikal, pasti dia sendiri akan merasa cuak. Emm..mungkin Tengku Haikal dah tangkap cintan dengan gadis ni kut? Bisik hati kecil Farid.

"Rezeki awak Adura, lagi pun kerja awak banyak bersangkut paut dengan perjalanan bisnes syarikat. So kena berhati-hatilah" Farid memberi alasan. Adura mengangguk tanda faham.
Semangatnya berkobar-kobar untuk berbakti untuk syarikat itu. Jelas terpancar dalam sinar matanya yang jernih perasaan terharu bila dia diiktiraf sebagai ahli keluarga syarikat secara rasminya.
"Tahniah Dura,kerja sungguh-sungguh. Akak dengan Encik Farid akan memberi segala tunjuk ajar jika perlu bagi memastikan  Dura selesa kerja disini." ucap Farah ikhlas walaupun dia sendiri hairan kenapa pengesahan jawatan untuk Adura dipercepatkan dari biasa.
"Kak, bila bos balik Malaysia ek?"soal Adura tiba-tiba. Wajahnya berona kemerahan bila Farid merenungnya sambil tersenyum.
"Kenapa, dah tak sabar nak jumpa bos ke?"usik Farid nakal. Tersipu-sipu Adura menahan malu. Farah yang telah kembali kemeja kerjanya memerhatikan saja gelagat Farid dan Adura. Berdetik dihatinya mengatakan bahawa lelaki dihadapannya ini sedang cuba memikat Adura. Jika di lihat dari renungan matanya yang tidak putus-putus menatap wajah gadis didepannya itu, pasti lelaki ini telah lama menaruh hati terhadap gadis ini.
"Mungkin minggu depan,kenapa?"soal Farah pula.
"Dura nak belanja makan.” Katanya malu-malu.
"Wah...bestnya. Kita berempat saja ke?"soal Farid pula. Adura yang bercadang hendak membawa mereka makan di Restoran Serambi milik Kak Yati mengangguk.
"Dura cadang nak belanja makan di kedai sepupu Dura,Restoren Serambi, ok tak?"soalnya meminta pendapat.

"Eh ok jugak tu. Kak Farah datang dengan hubby boleh tak. Bahagian hubby nanti akak bayar"Farah meminta izin. Suaminya pernah menyatakan keinginannya untuk makan disitu, tapi tidak kesempatan kerana kengkangan kerja.
"Eh tak apalah Kak, Dura tak kisah. Dura pun nak bawa teman serumah Dura, nanti boleh kenal. Encik Farid kalau nak bawa girlfriend pun tak apa. Tapi sorang jer ye" usik Adura nakal. Farah ketawa mengekek. Ish budak ni tak sedar ke orang didepannya ni sedang kemaruk angau dengan dia sibuk pulak bertanyakan girlfriend yang lain pula. Tak sensitif langsung.
"Saya ni mana ada girlfriend, siapa yang nak,rupa tak ada harta tak ada,setakat motor buruk untuk pergi kerja tu jelah yang mampu."keluh Farid merendah diri.
"Eh hari tu yang Encik Farid bawa tu kereta  siapa punya? Bila masa pula bawa motor?"soal Adura blurr. Farah sudah ketawa mengekek.

"Kau ni Dura,Tak kan tak tahu, kereta bila hari hujan,motor ,bila lewat bangun. Lagipun motor yang Encik Farid bawa pun bukan yang murah macam ayah-ayah kita pakai, motor ducati tu...puluh ribu juga harganya. Sudahlah Red, kau kalau berkenan cakap aje, jangan simpan dalam hati. Nanti orang lain ngap kau juga yang melepas. Aku dah tak larat asyik menyampaikan salam romeo-romeo dari department lain untuk si Dura ni."ngomel Farah. Adura yang mendengar merona merah wajahnya kerana malu. Farid pula agak terkejut. Ish Farah ni cakap tak reti bertapis. Kalau tahu dek Tengku Haikal, teruk budak-budak tu dikerjakan, termasuk aku sekali. Bukan dia tak ingat pesan Tengku Haikal supaya menjaga Adura sementara dia tak ada di Malaysia.
"Ah kau ni Farah, niat hati memang begitu, tapi orangnya sudah berpunya.Nak buat macamana" keluh Farid separuh merajuk. Farah yang melihat wajah mendung Farid terkedu. Eh biar betul Adura ni sudah berpunya. Kalau betul tak pernah pula dia bercerita. Pulangnya berambil perginya berantar ,itupun dengan roomatenya yang bekerja diarea berdekatan. Tak pernah lagi dia terjumpa lelaki lain yang menumpangkan Adura ketempat kerja kecualilah pemandu teksi.
"Eh betul ke Dura, akak tak tahu pun…" tanya  Farah cuba mencungkil rahsia. Adura yang tadi menundukkan segera mengangkat kepala dan merenung lelaki yang berada didepannya.

"Pandai aje Encik Farid ni. Dura ni baru habis belajar, mana ada masa nak berpacaran. Kat tempat kerja ni pun Dura mana ada kawan dengan sesiapa pun kecuali Kak Farah dan Encik Farid jer." Sangkalnya laju. Tersengih si Farid bila mendengar jawaban Adura. Gadis ini sebenarnya tidak tahu tujuan perlantikkan dia di syarikat ini. Walaupun kelayakkan lain-lain candidate adalah lebih kurang sama, kelebihan yang terdapat pada Adura adalah kerana permintaan Tengku Haikal. Namun tidak dapat dinafikan pilihan Tengku Haikal tetap tepat kerana gadis ini memang layak untuk menjawat jawatan ini. Sikap bertanggungjawab serta ketelitiannya dalam setiap tugasan yang diberi telah terbukti apabila syarikat berjaya memenangi tender untuk Projet J-PO di Jerman  baru-baru ini.

"So bila awak nak belanja kami semua ni makan Adura? Boleh saya  kosongkan jadual orang bujang saya khas untuk awak nanti"usik Farid lagi sengaja menukar topic perbualan mereka.
"Esok kan Tengku Haikal balik, nanti Dura jemput sendiri bos . Tanya dulu kut-kutlah dia ada appointment lain" Farah mengingatkan Adura.

"Hah…bos balik esok?" berderau darah Adura terkejut. Walau pun dia memang teringin untuk bertemu dengan Tengku Haikal, tapi bila hari yang ditunggu tiba, dia masih merasa bimbang. Degupan jantungnya menjadi laju. Bagaimanakah penerimaan Tengku Haikal terhadap dirinya nanti?.