Saturday, 12 April 2014

Milik Siapa Hatimu
Bab 10

Adura tekun menyiapkan proposal yang diminta oleh bosnya. Beberapa ungkapan yang baginya tidak sesuai ditukar seperti yang diarah oleh Tengku Dafrin tadi. Selepas memeriksa berulang kali dan puas dengan hasil kerjanya, folder yang bertulis Project J-PO di e-mail terus kepada Tengku Haikal seperti yang diminta setelah memberitahu dan meminta izin daripada Farah.

Farah yang kelihatan termengah-mengah membawa perut dan mungkin juga kekenyangan hanya mengangguk dan tersenyum senang. Ah anak didikannya sudah boleh berdikari. Lega rasanya bila dia bercuti bersalin kelak. Tidak bimbang meninggalkan gadis ini untuk menguruskan apa jua keperluan Tengku Haikal kelak. Penilaiannya tentang gadis ini juga jauh meleset. Dia bukan saja manis pada wajah dan rupa tetapi juga dari segi budi bahasa dan mempunyai etika kerja yang tinggi.
"Terima kasihlah Dura kerana banyak membantu dan back up Kak Farah. Pasti Tengku Haikal marah akak kan tadi sebab lambat siapkan  proposal yang dimintanya itu" tebak Farah sambil merenung dalam mata Adura yang sedang memerhatikannya. Gadis itu tersenyum.
"Jangan risaulah Kak Farah. Tadi Dura dah explain yang Kak Farah MC itu sebabnya kita lambat process proposal yang dimintanya." terang gadis itu seperti memujuk.
"Kak, nak tanya sikit boleh?" tiba-tiba Adura menyambung perbualan mereka setelah masing-masing kembali mengadap PC. Farah yang masih nampak mengah menjungkitkan keningnya. Adura pula ralit bermain dengan pen ditangannya. Kepalanya memerhati ke setiap penjuru siling pejabat.
"Nak tanya apa?" soal Farah yang kehairanan melihat telatah Adura.
"Kat dalam office ni ada CCTV ke Kak?" soal Adura ragu-ragu. Terbuntang mata Farah mendengar soalan Adura.
"Ish..mana ada. Kalau ada dah lama akak beritahu kamu supaya berwaspada.."wajah Adura berkerut. Waspada pasal apa pulak. Berkerut dahinya memandang Farah.
"Ialah…jangan buat benda tak senonoh macam make up masa kerja, korek hidung ker, tergaru-garu ker…" sambung Farah sambil ketawa bila dilihat wajah cemberut Adura.
"Ialah perkara itu yang sering berlaku tanpa disedari oleh yang empunya diri, sebab ianya spontan dan mengasyikkan kan?" Farah menyambung ketawa. Adura yang pada mulanya mencuka turut sama ketawa.
Memang benar apa yang dikatakan oleh Kak Farah, perkara-perkara seperti itu memang mengasyikkan dan sering berlaku tanpa disedari.
"Tapikan kak, kenapa Tengku Haikal tahu Dura pakai baju warna biru dan bertocang satu hari ni, sedangkan dia tidak ada disini?" Adura menyambung semula perbualan mereka setelah ketawa kedua wanita itu reda. Muka Farah yang nampak tembam itu termenung sebentar.
"Entahlah..akak pun tak boleh nak jawab. Apa lagi yang dibualkan dengan Tengku Haikal tadi Dura?" Farah mula berminat untuk tahu. Setahu dia Adura dan Tengku Haikal memang belum pernah bertemu sebelum ini dan dia pasti jika mereka bertemu pasti akan menimbulkan chemistery spark diantara mereka berdua. Confirm! Bisik hati kecil Farah sambil tersenyum memandang Adura yang memang nampak manis berbaju kurung biru dan bertocang satu, walaupun rambutnya sedikit serabai disebabkan kesibukkan kerja.
"Dia cakap, Dura should not skip meals over work. Emm..caring juga pak cik tu yer Kak Farah!" Adura menyuarakan pendapatnya. Farah ketawa bila mendengar Adura memenggil Tengku Haikal ‘pak cik'. Mau tersedak lelaki itu kalau mendengarnya.
"Ish..kamu ni Adura, pak cik kamu panggil bos kita. Tengku Haikal tu handsome orangnya. Boleh cair tau kalau lihat senyuman dia. Berapa ramai perempuan yang dah tergoda bila melihat Tengku Haikal . Dahlah handsome, kaya, brilliant lagi. Hai memang menjadi pujaan wanitalah boss kita ni. Umurnya pun baru 29 tahun. Muda lagi." tekun Adura mendengar Farah menceritakan serba sedikit tentang boss yang tak pernah dia temui lagi,setakat suara, itulah baru hari ini. Suara dia pun boleh tahan seksi juga bila bertutur dalam nada yang lembut. Tapi kalau marah, macam nak terburai isi perut bila mendengarnya.
“Tapi akak tak tergoda pun ?” usik Adura sambil ketawa. Merah padam wajah Farah.
“Mau taknya..tapi akak dah ada buah hati masa tu. Cemburu juga Abang Farish bila akak asyik bercerita pasal Tengku Haikal yang handsome ni, tak sangka rupanya mereka berdua adalah classmate masa sama-sama belajar di EC dulu sebelum masing-masing berpisah melanjutkan pelajaran ke luar negeri.” cerita Farah sambil ketawa. Kerana pertemuan semula dua sahabat inilah dia mengetahui calun isteri  Tengku Haikal telah ditetapkan oleh nendanya.Ini menjadikan dia tidak bebas untuk mengawini mana-mana gadis tanpa restu nenda yang amat dikenali dengan sikap tegas tapi amat disayanginya.
"Then kenapa dia tak kahwin lagi kak? Terlalu memilih ker?" soal Adura ingin tahu. Ialah dah kerja hampir tiga minggu, latar belakang boss pun dia tak tahu. Apa punya PA ni…
"Entahlah. Dari gossip yang pernah akak dengar, nenda Tengku Haikal telah mempunyai calun isteri untuknya tapi sampai sekarang masih belum diketahui siapa perempuan itu dan Tengku Haikal pula mengambil kesempatan ini untuk hidup membujang sehingga sekarang.." terang Farah panjang lebar. Dia kerap juga berjumpa dengan nenda Tengku Haikal setiap kali dia ke Teratak Bonda, milik keluarga Tengku Haikal.
"Bagaimana dengan Tengku Emelda..yang akak kata kekasih merangkap sepupu Tengku Haikal. Dia tu ke pilihan nenda atau pilihan Tengku Haikal sendiri?"soal Adura dengan wajahnya yang kelihatan kemerahan kerana begitu teruja..
"Emm..Tengku Emelda bukan pilihan nenda dan kalau Tengku Haikal, sukar untuk dijawab, sebab boss kita ni bertukar perempuan macam kita tukar baju. Tapi Tengku Emelda tu kuat mengipas nenda dan siap bagi  warning pada perempuan lain bahawa bos kita tu hak milik dia. Sesiapa yang cuba mendekati boss kita pasti kena slay dengan kata-katanya yang berbisa. Maklumlah, disini ada spy tak berlesen dia." Farah menyambung kata-katanya sedikit tercungap. Senak rasa perutnya setelah sepinggan nasi goreng kampong menjadi hidangannya semasa makan tengahari tadi. Adura begitu bersemangat hendak mendengar sambungan cerita dari Farah namun deringan telefon mematikan perbualan mereka. Farah pantas menjawab dan wajahnya kehairanan sambil memandang wajah Adura.
"Dura, your call. Dari boss." Adura segera mencapai gagang telefon didepannya dan menekan no 1.
"Assalamualaikum."perlahan suaranya penuh hormat. Farah mula memasang telinga. Bimbang juga jika Adura kena marah jika proposal yang dibuatnya tadi banyak berlaku kesilapan.
"Waalaikumussalam.Awak pergi makan tak tadi?" soal Tengku Haikal tiba-tiba menyebabkan wajah gadis yang berada ditalian itu berona kemerahan. Tengku Haikal yang sedang bersantai diatas katil dengan note book di ribanya tersenyum sendiri bila dapat mendengar suara gemersik milik gadis itu.
"Err…pergi."
"Makan apa?" soalnya lagi.
"Biskut jer.."
"Minum?"
"Milo" Farah yang sedang memasang telinga sambil meneguk air masak tersedak. Mau tak nya. Ini bos yang telefon ke atau mamak sedang ambil order makanan dari kedai makan dibangunan depan tu, bisik hati Farah kehairanan. Muka Adura sudah merah menyala menahan malu bila dia menyedari Farah sedang mendengar perbualannya dengan Tengku Haikal.
"Boss telefon ni nak tanya pasal makan jer ker?" soal Adura bengang. Jam dah dekat pukul 5.00 petang bermakna di Jerman dalam jam 12 malam. Ish..mamat ni tak tidur lagi ker.
"Hai, tanya pun tak boleh ?" usik lelaki itu sambil ketawa.                                              
"Boleh, tak salah. Tapi kan kat sana dah malam. Boss tak tidur lagi? Nanti esok mengantuk jangan salahkan saya" tegur Adura selamba. Kedengaran bunyi orang ketawa dihujung talian semakin kuat. Farah menelan air liur. Beraninya si Adura menegur Tengku Haikal yang sangat disegani oleh pekerjanya Kalau yang tidak tahu pasti befikir  ini perbualan antara pasangan kakasih, bukan pekerja dengan bos bisik hati kecil Farah.
"Saya baru saja habis membaca proposal yang awak hantar tadi. Good job. Saya suka penambahan yang awak buat dalam ayat-ayat saya dan beberapa perubahan statement yang saya rasa sangat berguna untuk tender ini." Puji Tengku Haikal ikhlas.
"Terima kasih bos.." kembang kuncup hidung Adura bila dipuji begitu. Kak Farah yang dari tadi memerhatikan gelagat Adura menjungkitkan keningnya ingin tahu.
"Nanti awak finalized proposal ini dan e-mail semula pada saya. Ada beberapa patah ayat saya masukkan. Yang lain tak payah ubah, Cuma masukkan phrase yang saya tambah di perenggan yang terakhir. E-mail pada saya segera selepas siap. Esok pagi saya ada meeting.Faham?" suara Tengku Haikal kembali serius. Skrin note book didepannya di pandang sipi. Semua persediaan untuk meeting esok mesti perfect. Tengku Haikal memang mementingkan ketepatan maklumat dan ketelitian dalam setiap kerja . Ini bagi menjamin perniagaan syarikat berkembang maju dan pekerja juga yang akan mendapat imbuhan setiap kali syarikat mendapat keuntungan. Dia merasa bangga dengan kebolehan yang ada pada Adura dan dia bersyukur kerana tidak tersalah pilih dalam mencari PA yang baru bagi menggantikan Farah yang akan bersalin tak lama lagi.
"Baik bos, saya siapkan malam ini dan e-mail segera. Ada apa-apa lagi bos nak tambah pesanan?" Adura bertanya lagi. Skrin komputer kembali direnung. Mail box dibuka.  Ada mesej dari Jerman.
"Awak nak pesan apa dari Jerman, boleh saya belikan?" terkujat Adura dikerusinya bila Tengku Haikal dengan selamba menawar diri. Ish giler, bukan murah barang disana, membazir duit jer.
"Err..tak apalah boss. Asal selamat pulang dan berjaya mendapat tender itu dah cukup buat saya?" eh, semacam jer bunyi ayat aku. Habis perasan mamat kat sana ni. Ados…malunyer., gumam Adura didalam hati. Farah yang mendengar lagilah terkejut. Apa kes budak ni. Dia orang ni ada apa-apa ke yang aku tak tahu ni. Ish tak sabar nak tunggu Tengku Haikal pulang. Nak tengok sendiri dengan mata kepala aku hubungan sebenar gadis ini dengan Tengku Haikal. Tengku Haikal yang mendengar jawaban dari Adura bagai tersentap hatinya. Rasa jiwanya melayang bila mendengar lafaz yang cukup ikhlas dan menyentuh jiwanya. Kalau perempuan lain sudah pasti berbakul-bakul hadiah yang di pinta. Tapi gadis ini lebih kepada keselamatan dan kepentingan syarikat yang diutamakan. Tengku Haikal berdehem perlahan. Melonggarkan hati yang sedikit sebak.
"Dura…terima kasih. Tak sabar nak jumpa awak." Bisik suaranya perlahan penuh perasaan. Adura yang mendengar bagai nak gugur jantung. Patutlah kak Farah kata Tengku Haikal ni banyak keistimewaannya. Hai aku kena kuat melawan perasaan yang tiba-tiba dibuai oleh ayat-ayat caring Tengku Haikal ini.
"Errr…don't mention it. Good night Tengku, sweet dreams. Assalamualaikum" Adura mematikan perbualan dengan segera. Bimbang jika lama dia bergayut dengan lelaki itu, dia yang akan menjadi penasaran.
Farah yang menjeling tidak dihiraukan. Folder yang dikirim segera dibuka. Tumpuannya kini kembali kepada projek J-PO. Mesti siap sebelum pulang.


No comments:

Post a Comment